Thursday, January 28, 2010

UM: Mahasiswa ugut berdemo

TERKINI Pelajar Universiti Malaya (UM) dari kumpulan pro-Mahasiswa yang tewas pada pilihan raya kampus semalam mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antara tuntutan mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Ketika ini, perbincangan sepuluh wakil pelajar berkenaan dengan Naib Canselor UM, Ghauth Jamsoon dihentikan seketika untuk solat Jumaat.

Tengah hari tadi, suasana tegang sekali lagi menyelubungi kampus UM apabila lebih 200 mahasiswanya berarak dari Dewan Tunku Canselor ke pejabat Canselori.

Mereka berang selepas tewas tipis pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam dan mendakwa berlakunya penyelewengan.

Mahasiswa berkenaan memakai lilit kepala putih dengan tertera perkataan 'bantah' dalam tulisan merah.

Mereka berjaya menyerbu serta mengepung pejabat Canselori dan memaksa perjumpaan dengan Ghauth.

Pada awalnya, ketegangan memuncak apabila pelajar mahukan dialog terbuka tetapi ditolak oleh naib canselor.

Sebaliknya,

Ghauth mencadangkan perjumpaan tertutup dengan sepuluh wakil yang dipilih oleh pelajar berkenaan.

Cadangan itu dipersetujui dan rundingan diadakan sebelum ia ditangguhkan pada jam 1 petang tadi untuk solat Jumaat.

Turut berada di lokasi adalah kumpulan mahasiswa dari kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) yang berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

- Malaysiakini

Readmore »

UPM: Tiada PRK semula

Jawatankuasa pemilihan bagi pilihan raya kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) memutuskan tidak perlu diadakan semula pilihan raya ekoran pembatalan kemenangan tujuh calon umum kelmarin.

Sebaliknya, kekosongan tempat itu secara automatik akan digantikan dengan tujuh calon lain yang mendapat kutipan undi tertinggi.

"Jawatankuasa itu memutuskan, keputusan membatalkan kemenangan mereka (7 calon pro-M) adalah kekal.

"Keputusan tersebut berkuatkuasa pada jam 11 pagi hari ini," kata sumber UPM kepada Malaysiakini.

UPM kelmarin membatalkan kemenangan 7 calon pro-M kerana didapati berkempen secara berkumpulan dalam laman sosial Facebook.

Surat makluman pembatalan itu dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM kelmarin.

Tujuh calon umum pro-M yang dibatalkan kemenangan mereka ialah Muhammad Hazim Md Noh, Siti Hajar Zolqarnain, Mohammad Rafi Abu Bakar, Mohd Hanif Md Radzi, Azlinda Abdullah, Amirul Rahman Mohd Khozam dan Nurul Hanisah M Yunus.

Sumber berkata, tujuh calon lain yang menggantikan mereka ialah Anas Abu Hassan, Low Yak Leng, Hanita Hanim Mohd Ali, Muhd Zulkhairi Zulkifli, Siti Aisah Atan, Adibah Aini Anuar dan Pang Ping Fen.

Dalam pilihan raya kampus itu, pro-A menguasai 37 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan manakala pro-M hanya memenangi 11 kerusi. Dengan pembatalan tersebut, pro-M kini hanya tinggal 4 kerusi sahaja.

Selasa lalu, UPM mengadakan pilihan raya kampus yang menyaksikan 41 calon bertanding bagi merebut 16 kerusi umum.

- Malaysiakini
Readmore »

Pro-Aspirasi menang lagi di 3 kampus utama

Kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) menang lagi di tiga kampus utama dalam pilihan raya kampus universiti masing-masing semalam.

Dalam keputusan yang diumumkan lewat malam tadi, kumpulan tersebut menewaskan musuh tradisinya pro-Mahasiswa (pro-M) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Di UKM, pro-A memenangi 19 kerusi berbanding pro-M yang mendapat 15 kerusi. Bebas mendapat 1 kerusi. Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi.

Di UTM, pro-A memenangi 28 kerusi manakala pro-M mendapat 18 kerusi. Bebas mendapat 5 kerusi. Keseluruhannya 51 kerusi dipertandingkan.

Sementara keputusan di USM pula, pro-A menang besar. Di kampus utamanya di Pulau Pinang, kumpulan tersebut menang bergaya dengan 31 kerusi.

Bebas berjaya mendapat 2 kerusi. Pro-M pula gagal mendapat sebarang kerusi.

Penguasaan berterusan pro-A

Keputusan kampus Kubang Kerian belum diperolehi setakat ini. Universiti berkenaan mempertandingkan 39 kerusi.

Keputusan terbaru tersebut melengkapkan penguasaan berterusan kumpulan pro-Aspirasi di kampus-kampus, melainkan di kubu kuat mereka di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sebelum ini, pro-A turut menang tipis di Universiti Malaya (UM) apabila mendapat 21 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Pro-Mahasiswa tewas apabila mendapat 17 kerusi - kurang dua kerusi berbanding tahun lalu. Calon Bebas memperolehi 3 kerusi.

Tidak puas hati dengan keputusan tesebut, pro-M mengadakan demontrasi di universiti berkenaan malam tadi sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, pro-A memperolehi 37 kerusi berbanding pro-M sebanyak 11 kerusi.

Pro-M hanya bertahan di UIA, UMT

Bagaimanapun kemenangan 7 daripada 11 calon kumpulan pro-M dibatalkan kerana didapati berkempen secara berkumpulan menggunakan laman sosial Facebook.

Selain di UIA, pro-M hanya menang di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Di pusat pengajian tersebut, pro-M menang 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Manakala pro-A hanya mendapat 1 kerusi sahaja.

Di UIA - satu-satunya kampus utama yang masih dikuasai pro-M - kumpulan itu mempertahankan kemenangan dengan memperolehi 15 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala pro-Aspirasi, bebas dan calon antarabangsa, masing-masing mendapat 4 kerusi.

Baki dua lagi kerusi - masing-masing satu di Fakulti Perubatan dan kerusi Antarabangsa di Kuantan - kosong ekoran tiada calon yang bertanding di situ.
Readmore »

E-Voting 'pilot test' kecenderungan pengundi muda PRU 13

KUALA LUMPUR, 29 Jan: Pro-Mahasiswa (Pro-M) mendakwa pengenalan sistem e-undi di Universiti hanya bertujuan membantu kerajaan membaca trend politik pengundi muda pada Pilihanraya Umum ke-13 kelak.

Menurut Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Shafie Hashim, strategi sedemikian dengan menjadikan Universiti sebagai ‘pillot test’ telah lama dilakukan oleh parti-parti pemerintah di negara maju.

“Ini baru kebarangkalian...Saya tidak mahu katakan pasti atau sebaliknya motif e-Undi ini sebenarnya untuk membantu Umno BN membaca trend pengundi muda,” jelasnya.

“Tetapi, parti-parti pemerintah di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri sudah lama menggunakan cara ini, jelasnya.

Sekiranya kebarangkalian tersebut benar, beliau yang juga Pengerusi Pro-M Universiti Malaya (UM) memuji parti-parti pemerintah kerana mahir dalam memanfatkan teknologi tinggi.

“Kalau benar, kerajaan serta parti-parti pemerintah boleh dikata hebatlah sebab sudah pakai strategi berkapasiti tinggi yang lazim digunakan oleh negara-negara maju saja.”

“Ini baru kebarangkalian yang dikeluarkan oleh Unit Kajian Strategik (UKS) kita (Pro-M),” jelasnya.

Tambahnya lagi, penggunaan universiti untuk kepentingan parti-parti pemerintah sudah tentu memberi banyak kelebihan, berbanding pembangkang iaitu Pakatan Rakyat.

“Kerajaan dilihat terkehadapan jika benar menggunakan Universiti (sebagai ‘pillot test’), sedangkan parti-parti Pakatan Rakyat masih dilihat bekerja cara lama (iaitu) kenal pasti penyokong parti masing-masing, kemudiannya didaftarkan mereka sebagai pengundi baru untuk persiapan PRU13 kelak,” jelasnya.

Ditanya tentang kaedah membaca trend pengundian pengundi muda menggunakan e-undi, beliau menjelaskan bahawa data-data perolehan boleh disusun secara automatik mengikut demografi tertentu secara strategik.

“Secara relatif, data ini boleh disusun ikut demografi negeri, faham politik, latar belakang pendidikan dan tahap hidup selesa (sama ada) tinggal di kolej atau di luar (kampus).”

“Kalau keputusan e-undi menunjukkan (bahawa) majoriti mahasiswa (pengundi) peranakan atau bemastautin di Kedah umpamanya cenderung pada parti-parti yang memerintah negeri tersebut, maka ianyanya memberi isyarat (kepada kerajaan persekutuan) bahawa pengundi muda dalam PRU13 kelak mungkin lebih cenderung (pada) mengekalkan kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) yang sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal kerana universiti yang sepatutnya bersifat autonomi akhirnya dijadikan perkakas politik oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) turut mempersoal motif di sebalik pertemuan sulit antara ProA dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustafa Mohammad yang dijangka akan diadakan pada malam ini.

“Malam ini, saya diberitahu (bahawa) akan ada suatu pertemuan tertutup (yang) melibatkan semua MPP Pro Aspirasi di kediaman peribadi Datuk Mustafa, di ibunegara,” jelasnya.

“TNC HEP (Profesor Madya Datuk Dr. Azarae Idris) dan semua staff universiti yang terbabit menjayakan sistem e-undi ini pun turut dijemput.”

“ Adakah pertemuan tersebut untuk menjelaskan (laporan) trend undi muda di Universiti seperti yang saya perkatakan ini?” soal beliau.

Semalam, keputusan Pilihan Raya Kampus UM menyaksikan Pro-A mendapat 21 kerusi manakala Pro-M mendapat 17 kerusi.

Readmore »

UKM: Pro-M bantah keputusan PRK

KUALA LUMPUR, 29 Jan: Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini membuat bantahan kepada pihak pentadiran universiti berhubung kekalahan calonnya di Fakulti Kejuruteraan.

Seorang jurucakap Pro-M berkata, jumlah undi bagi fakulti itu yang dikira di kolej kediaman tidak sama dengan yang diumumkan di pusat penjumlahan undi menyebabkan calon Pro-M yang sepatutnya memenangi kerusi tersebut, kalah.

"Kami (Pro-M) dalam proses membuat bantahan kepada pihak universiti kerana tidak puas hati dengan keputusan pihak universiti yang memenangkan calon Pro-Aspirasi (Pro-A)di fakulti kejuteraan,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Keputusan yang diumumkan lewat malam tadi menyaksikan Pro-M memenangi 15 daripada 35 kerusi yang dipertandingkan iaitu empat kerusi umum dan sembilan kerusi fakulti.

Manakala Pro-A mengekalkan penguasaannya di kampus berkenaaan apabila memenangi 19 kerusi.

Bagaimanapun, Pro-M tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan membuat bantahan kepada pihak universiti.

Malam tadi, kira-kira 500 mahasiswa berkumpul di hadapan Kompleks Abdul Salleh bagi membantah keputusan tersebut.

Pro-M turut mengesyaki terdapat manipulasi undi dilakukan kerana walaupun proses pengiraaan undi selesai kira-kira jam 8.30 malam, tetapi keputusan hanya diumumkan pada jam 12 malam.

Sehubungan itu, Pro-M sedang berusaha membuat bantahan berhubung perkara itu termasuk juga bantahan berhubung sikap double standard pihak universiti sepanjang proses piihanraya berlangsung.

Semalam mereka mendakwa kakitangan UKM menjalankan kempen untuk memenangkan calon-calon tajaan Universiti, walaupun waktu berkempen telah ditamatkan sejak 12 tengah malam semalam.

Pro-M masih menungggu jawapan daripada pihak universiti termasuk memohon untuk mengadakan sesi dialog.
Readmore »

UM: Bantahan E-undi memuncak, mahasiswa berang

Suasana tegang menyelubungi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur malam semalam apabila lebih 500 mahasiswa berkumpul dan bertelingkah berhubung keputusan pilihan raya kampusnya.

Lebih 300 pelajar daripada kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) melancarkan bantahan berhubung pengundian secara berkomputer atau e-undi sejurus selepas keputusan menunjukkan kumpulan pro-aspirasi (pro-A) kembali menguasai universiti ini.

Bantahan yang bermula jam 10.30 malam semalam berlanjutan selama sejam di pejabat canselori, UM.

Walaupun pihak keselamatan cuba menghalang perhimpunan itu tetapi mereka gagal berbuat demikian apabila jumlah yang terbabit semakin ramai.

Pelajar menuntut naib canselor, Ghauth Jamson turun bagi berbincang dengan mereka sambil melaungkan slogan seperti "NC turun", "bantah e-undi" dan "kita marah".

Walaupun pelajar dimaklumkan bahawa naib canselor dan timbalannya tidak berada di pejabat ketika itu, namun mereka tidak mempercayainya dan tetap menuntut berjumpa dengannya.

Seorang pegawai kemudiannya membawa seorang wakil pelajar ke bilik naib canselor bagi membuktikan bahawa pegawai-pegawai kanan universiti berkenaan telah meninggalkan pejabat mereka.

Kumpulan pelajar pro-M akhirnya bersetuju bersurai selepas pihak universiti berjaya menghubungkan mereka dengan naib canselor melalui panggilan telefon. Ghauth dilaporkan bersetuju berjumpa dengan kumpulan yang tidak puas hati itu hari ini pada jam 11 pagi nanti.Pro-M berhimpun lagi pagi ini

Pada ucapannya, presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM Shazni Munir Mohd Ithnin berkata mereka akan terus berjuang supaya pilihan raya diadakan semula tetapi bukan secara e-undi.

Beliau juga berkata kumpulannya akan sekali lagi berhimpun di Dewan Tunku Cansellor hari ini mulai jam 9 pagi.

"Pilihan raya wakil pelajar bukan pilihan raya bagi melantik pengawas sekolah tetapi ia adalah untuk memilih kabinet bayangan bagi pemimpin masa depan,” katanya.

Dalam kekecohan malam semalam, pergelutan kecil juga berlaku di antara kedua-dua kumpulan mahasiswa berkenaan. Bagaimanapun kehadiran pegawai keselamatan universiti berjaya meleraikan keadaan.

Pihak polis juga menghantar anggotanya bagi memantau keadaan. Tiada tangkapan dibuat.

Pada keputusan yang diumumkan pada jam7 petang semalam, pro-M memperolehi 17 kerusi dan tewas dengan hanya kekurangan empat kerusi.

Kumpulan pro-A menyapu 21 kerusi manakala calon bebas memenagi tiga kerusi.Dua daripada calon bebas itu kemudiannya bertindak menyokong kumpulan Aspirasi.

Pada pilihan raya kampus yang lalu, kumpulan pro-M menang dengan hanya kelebihan satu kerusi.

- Malaysiakini
Readmore »

UM: Pro-Aspirasi kuasai semula

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya gagal mempertahan kerusi mereka untuk mendapat majoriti dalam Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) apabila tewas di tangan kumpulan Pro-Aspirasi.

Dalam keputusan yang diumum lewat petang tadi, Pro-M hanya mendapat 17 kerusi berbanding Pro Aspirasi atau Penggerak, 21 kerusi, manakala bebas pula berjaya memperoleh 3 kerusi.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Pro-Aspirasi kembali merampas MPP kampus itu setelah dimenangi Pro-M pada pilihan raya kampus tahun lalu.

Pengumuman keputusan petang tadi dibuat Naib Canselor Prof Datuk Ghauth Jasmon di Dewan Tunku Canselor (DTC) dihadapan penyokong kedua-dua kumpulan.

Pro-M bagaimanapun mengemukan beberapa bantahan sewaktu tempoh bantahan dan rayuan dibuka selepas pengumuman dibuat.

Antara bantahan tersebut termasuklah berkait gangguan sistem undian beberapa jam dan mengganggu sekurang-kurangnya keputusan di tiga kolej.

Kejadian itu menyebabkan Pro-M meragui keputusan yang diumumkan.

Pihak pengurusan pilihanraya bagaimanapun memberitahu hanya akan menjelaskan berkaitan bantahan itu esok.

Pada tahun lalu, Pro-M memperoleh 19 kerusi manakala Penggerak mandapat 20 kerusi.

Bagaimanapun Pro-M berjaya membentuk kabinet MPP apabila dua calon bebas yang menang menyatakan sokongan kepada kumpulan mereka.

Tahun in merupaka kali pertama sistem undian elektronik, e-undi dilaksanakan di kampus tersebut.

Ianya bagaimanapun ditentang hebat khususnya kumpulan Pro-M yang mendakwa sistem tersebut terdedah kepada manipulasi dan penyelewengan.

Penyokong masing-masing dilihat mula membanjiri DTC seawal jam 5.30 petang sejurus waktu pengundian tamat.

Kedua-dua kumpulan mereka diasingkan sebelah menyebelah tempat duduk bahagian atas dewan dengan dikawal pasukan keselamatan universiti.

- Harakahdaily
Readmore »