Wednesday, January 27, 2010

USIM pelopori kampus tanpa plastik

HARI ini dengan berlakunya perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, banjir kilat, kenaikan suhu global dan pencemaran udara serta air bertoksin, ia sebenarnya 'menceritakan' mengenai kemusnahan bumi.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa dalam hal ini kesalahan harus dituding kepada sikap rakus manusia yang menjadi faktor utama pencemaran alam sekitar.

Bukan tidak ada kesedaran di kalangan masyarakat untuk memelihara alam sekitar tetapi pendekatan yang dilakukan tidak cukup malah boleh dikatakan mereka juga seolah-olah belum sedar atau peka dengan masalah yang mengancam dunia hari ini.

Pelbagai promosi serta aktiviti dilakukan dalam usaha memelihara alam sekitar tetapi sebenarnya ia seolah-olah 'mencurah air di daun keladi'.

Untuk itu, menurut Yang diPertua Kelab Alam Sekitar Universiti Sains Malaysia (USM), Ainaa Shafeenaz Shamsuddin, 21, sejak Januari 2008, USM telah 'mengharamkan' penggunaan bekas makanan polisterin serta merta di semua 32 kafeteria universiti berkenaan.

Malah program Kafeteria Sejahtera-Membangunkan Kampus Lestari di USM turut melihat penglibatan operator kafetaria menggunakan bekas makanan mesra alam yang diperbuat daripada bahan buangan kelapa sawit bagi membungkus makanan.

"Ia bukanlah satu perkara yang mudah apabila keputusan atau perubahan ini diambil kerana banyak faktor yang perlu diambil kira dan pelbagai kebimbangan yang terlintas di fikiran andai kata program ini ditentang atau gagal.

''Tetapi setakat ini Alhamdulillah, program 'The White Coffin' ini masih berterusan sehingga hari ini dan saya sangat menghargai dan kagum dengan semangat semua pengusaha kafe di USM yang sanggup berkorban dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

''Malahan mereka sebenarnya mempunyai kesedaran yang lebih tinggi tentang alam sekitar dan kesihatan,'' ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelas beliau, sebelum itu, USM telah diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlanagan Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (Regional Centre of Excellence in Education for Sustainable Development) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Universiti Nagoya, Jepun pada 29 pada Jun 2005.

Ini kerana kejayaan kempen-kempen kelestarian seperti The White Coffin yang berjaya menyahkan penggunaan polisterin dan mengurangkan penggunaan plastik yang mendapat pelbagai pengiktirafan dunia serta penggemblengan pelbagai kepakaran untuk membangunkan 'eco-hub' melalui usaha memanfaatkan sumber yang ada.

Ia merupakan antara contoh kejayaan yang dilakukan secara sukarela oleh warga kampus USM.

Kejayaan terkini dalam pelbagai usaha penyelidikan dan inovasi membuktikan kesungguhan USM untuk melakukan transformasi menyeluruh yang melibatkan pemikiran dan tindakan yang berterusan.

Dengan bilangan siswazah ijazah tinggi mencecah lebih 14,500 orang dan siswazah ijazah pertama mencecah lebih 99,000 orang, USM yakin mampu untuk menggembleng kekuatan yang ada untuk mencapai misi tersebut.

Pada masa ini, USM mempunyai kira-kira 1,076 orang staf akademik di kampus induk Pulau Pinang, kira-kira 600 staf akademik di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan kira-kira 250 orang staf akademik di Kampus Kesihatan Kelantan dengan hampir 80 peratus daripada mereka berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D).

USM akan terus memainkan peranan untuk mendidik dan menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia yang berupaya untuk memanfaatkan bahan-bahan tempatan untuk faedah umat manusia dengan tumpuan utama menghasilkan produk-produk yang dapat membantu golongan terkebawah yang berada dalam paras kemiskinan.

Menurut Ainaa lagi, dengan penggunaan bekas makanan mesra alam, ia bukan sahaja mengelak daripada pencemaran alam malah ia juga salah satu cara pemuliharaan alam sekitar.

''Saya rasa umum telah ketahui bahawa sehelai beg plastik gred 1 iaitu tepu, memerlukan sekitar seribu tahun untuk diceraikan.

''Manakala tempoh bagi polisterin pula mengambil masa sehingga 10,000 tahun kerana plastik dan polisterin diperbuat daripada bahan kimia yang berbeza,'' katanya lagi.

Tambahnya, menurut kajian yang dilakukan di USM, daripada 7,000 bekas makanan yang digunakan di universiti itu setiap hari, hanya 1,000 sahaja yang mesra alam dan mampu hancur dengan baik.

Untuk program tersebut, USM kini menjadi salah satu universiti pelopor dalam usaha memulihara alam sekitar kerana selain kampus di Pulau Pinang, mereka akan meluaskan kempen itu di kampus mereka di Kubang Kerian, Kelantan dan Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan.

Untuk pengetahuan umum, kempen ini sebenarnya disuarakan oleh semua 30,000 staf USM dan pelajar mereka yang mahukan alam yang lebih terjaga dan lestari.

Sebenarnya, jika dilihat kembali, semua perkara baik perlu ada orang yang memulakannya di samping mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Ini kerana dengan sokongan-sokongan tersebut secara tidak langsung ia membolehkan usaha pemuliharaan berkembang luas dan akhirnya mampu memulihara alam sekitar negara ini yang dilihat semakin 'nazak'.

Sedikit sebanyak apa yang dilakukan hari ini dilihat satu tindakan positif ke arah pendidikan untuk merangsang kesejahteraan alam sekitar.

- Utusan

0 comments:

Post a Comment