Monday, January 25, 2010

Mahasiswa UPM mengundi hari ini

SERDANG, 26 Jan: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Putra Malaysia (UPM) berlangsung hari ini.

Ianya berlangsung dalam suasana minggu ujian pertama bagi pelajar-pelajar kampus itu untuk semester ini.

Tinjauan wartawan Harakahdaily pagi tadi mendapati pusat-pusat mengundi mula dibuka jam 9 pagi bagi membolehkan mahasiswa menggunakan kesempatan awal mengundi kerana ada diantara mereka perlu membuat persiapan menghadiri ujian di sebelah petang.

Manakala semua kelas yang berakhir jam 4 petang diawalkan ke jam 3 petang untuk tujuan sama.

Pusat-pusat pengundian di UPM dibuat mengikut pembahagian zon dan terdapat lima zon kesemuanya.

Faktor minggu ujian ini juga bakal menentukan berapa peratus keluar mengundi dari lebih 20 ribu pelajar kampus di kampus tersebut.

Pengerusi Pro- Mahasiswa (Pro-M) UPM, Ahmad Fariz Rakbi ketika ditemui menjangkakan peratus keluar mengundi menurun kerana masing-masing sibuk dengan ulang kaji.

" Saya jangka tidak ramai turun mengundi kerana yang terlibat dengan ujian hari ini.
" Apapun saya pulangkan kepada pelajar untuk membuat keputusan mengundi atau sebaliknya," katanya.

Pro-M mempertaruhkan 34 calon untuk PRK kali ini.

Kesemua mereka terdiri dari 13 calon kerusi umum manakala 21 lagi kerusi fakulti.

Pada penamaan calon 22 januari lalu, Pro-Aspirasi bagaimanapun telah mendapat satu kerusi di fakulti Rekabentuk kerana menang tanpa bertanding.

Keputusan PRK UPM ini juga bakal menentukan sama ada isu yang diperjuangkan oleh kedua-dua pihak bertanding mampu meyakinkan pelajar atau sebaliknya.

Pro-M sepanjang kempen mereka membawa manifesto kebajikan pelajar dan demokrasi kampus.

Antara yang ingin diperjuangkan mereka adalah berkaitan perkhidmatan bas, harga makanan di kampus yang didakwa mahal dan pembudayaan ilmu di kalangan mahasiswa.

Dalam aspek demokrasi kampus pula, mereka menumpukan kepada bantahan undi elektronik yang didakwa mempunyai ruang untuk dimanipulasi.

"Dalam satu survey yang kita buat, pelajar sebenarnya ramai yang tidak percaya dengan ketelusan e-undi.
"Mereka mempersoal tahap kerahsiaan undi mereka dan tidak tahu ke mana undi mereka dibawa," katanya lagi.

Selain itu, UPM juga difahamkan mensyaratkan calon-calon yang bertanding tidak boleh berkempen secara elektronik termasuk menggunakan jaringan sosial seperti Facebook, Friendster, Myspace dan sebagainya.

Proses pengundian akan berlangsung sehingga jam 5 petang nanti.

Satu tempoh masa kemudiannya diberikan untuk tujuan bantahan dan rayuan.

Jika tiada sebarang masalah, keputusan PRK bagi kampus tersebut dijangka boleh diketahui sebelum jam 8 malam ini.

Sumber: Harakahdaily.net

0 comments:

Post a Comment