Sunday, January 24, 2010

Sudut Pidato: Mahasiswa wajib manfaatkan ruang

Ma’ruf Club menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk kembali membuka ruang dan peluang bagi mahasiswa bersuara di depan massa di kampus. Pengenalan semula Sudut Pidato yang terhenti seketika hampir 40 tahun lamanya dilihat antara faktor utama mahasiswa yang lahir daripada sulbi kampus sejak era tersebut dilihat lesu untuk berpencak di lapangan masyarakat.

Pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik mengambil alih konsentrasi mahasiswa yang kemudiannya dijadikan alasan dan penghalang kepada mereka untuk terlibat dengan dunia sebenar kemasyarakatan. Ditambah lagi dengan pelbagai undang-undang yang menyahaktifkan penglibatan mahasiswa untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara, ia menambah parah lagi kualiti yang wujud dalam diri mahasiswa.

Oleh sebab itu, Ma’ruf Club amat berharap mahasiswa kampus dapat memanfaatkan keterbukaan ini dengan sebaiknya. Hal ini disebabkan mereka merupakan ‘generasi emas’ yang sentiasa diwarwarkan sebagai pewaris negara pada masa hadapan.

Antara keistimewaan mereka ini ialah di samping berada di lapangan akademik, sebenarnya anak muda juga ‘kaya’ dengan cita-cita, idealisme, semangat dan keazaman untuk berubah dan menjadi agen perubahan.

Dalam sebuah kisah perang pada zaman Nabi S.A.W., sewaktu Baginda S.A.W. mengumpulkan para sahabat R.A. untuk bertanyakan strategi perang yang akan digunakan untuk berhadapan dengan musuh, maka bangkit seorang anak muda memberi cadangan supaya Tentera Islam menggali parit. Umum maklum bahawa sejarah perang melibatkan bangsa Arab tidak pernah menggunakan idea se‘gila’ itu. Namun, melihat kepada untung besar yang boleh memenangkan Islam dengan menggunakan strategi tersebut, maka Nabi S.A.W. menerima cadangan anak muda tersebut yang pada mulanya dilihat ramai tidak mampu memberi kesan. Perang itulah, Perang Khandaq. Anak muda itulah, Salman Al-Farisi.

Ma’ruf Club juga amat mengharapkan pemidato dapat mempersembahkan idealisme mereka dengan baik. Namun, sewajarnya mereka dapat mengelakkan daripada membuat sebarang pengucapan awam yang berbaur provokasi supaya terhindarnya konfrontasi. Semoga aura mahasiswa yang pernah mewarnai pentas dan landskap negara pada satu masa dulu kembali disemarakkan dan dibumikan demi kecaknaan dan kemaslahatan pada kampus khasnya dan ummah amnya.

Oleh : Muhammad Zaki Bin Sukery,
Presiden,
Ma'ruf Club UIAM.

0 comments:

Post a Comment