Wednesday, January 27, 2010

UM: Halang kempen, PRK kecoh

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Tindakan Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya (UM) menghalang Pro-Mahasiswa (Pro-M) daripada berkempen menyebabkan berlakunya kekecohan pada hari terakhir kempen bagi pilihanraya kampus (PRK) kampus berkenaan semalam.

Sumber memberitahu, HEP bertindak mengarahkan Pro-M mencabut banner yang digantung di sekitar kampus apabila mendapat aduan daripada Pro Aspirasi (Penggerak) yang mendakwa banner calon Pro-M tidak mengikut garis panduan sewaktu berkempen.

Penggerak mendakwa Pro-M melanggar peraturan kempen apabila menggantung banner besar daripada "Fan Club" calon-calon, sedangkan mereka sendiri turut berbuat demikian.

Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati pihak Pro-M menyebabkan mereka mengerumuni HEP yang berada di tempat kejadian bagi mendapatkan penjelasan.

Apabila Pro-M memberitahu Penggerak juga melakukan perkara yang sama, pihak HEP bersetuju untuk menyiasat dakwaan tersebut.

PRK UM didakwa berlaku pencabulan demokrasi kampus yang sangat teruk apabila pelbagai sekatan dikenakan terhadap jentera dan calon Pro-M namun keistimewaan jelas diberikan kepada Penggerak untuk melakukan apa sahaja.

Hal ini dibuktikan dengan tindakan HEP menghalang calon Pro-M berkempen di kolej kediaman atas alasan ianya tempat berkempen untuk Penggerak.

Sedangkan dalam peraturan pilihanraya ada dinyatakan mana-mana calon yang bertanding bebas berkempen di kawasan kampus termasuk di kolej-kolej kediaman dan fakulti-fakulti.

HEP juga jelas dilihat "double standard" terhadap calon-calon Pro-M.

Proses pengundian secara e-undi di UM berlangsung bermula jam lapan pagi ini dan akan tamat pada jam lima petang nanti. Manakala keputusan dijangka diumumkan pada jam 6.30 petang.

Selain UM, empat lagi kampus melalui proses pengundian hari ini iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pro-M sebelum ini telah menguasai kerusi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) namun di Universiti Putra Malaysia (UPM) Pro-M hanya berjaya menang sebelas kerusi daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

0 comments:

Post a Comment